KOPERASI PERBADANAN PERAK BERHAD

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOPERASI PERBADANAN PERAK BERHAD (KOPERAK) KALI KE-44

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke-44 Koperasi Perbadanan Perak Berhad (KOPERAK) telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Julai 2026 bertempat di Kinta Riverfront Hotel & Suites, Ipoh. Majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk, dan turut dihadiri oleh Encik Shahrizan bin Abdullah, Timbalan Pengarah Pembangunan dan Pengurusan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak, sekali gus menyerikan lagi penganjuran MAT pada tahun ini.

MAT Kali Ke-44 turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berlangsungnya pelancaran rasmi Logo Baharu KOPERAK serta Sistem Keanggotaan iKOOP, yang bakal memperkukuh pengurusan keanggotaan secara lebih sistematik, cekap dan selaras dengan transformasi digital koperasi.

Antara agenda utama MAT Kali Ke-44 ialah pemilihan Anggota Lembaga KOPERAK, yang menyaksikan seramai 12 calon bertanding. Daripada jumlah tersebut, empat (4) orang telah dipilih sebagai Anggota Lembaga baharu, manakala tiga orang (3) lagi dipilih sebagai calon simpanan, bagi meneruskan kepimpinan dan tadbir urus koperasi.

Sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan pendidikan, KOPERAK turut menyampaikan Hadiah Pelajaran kepada anak-anak anggota yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM serta berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KOPERAK dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan anggota.

Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan sebanyak 105 buah hadiah menarik kepada para anggota. Antara hadiah utama yang menjadi tumpuan ialah TCL 65″ Google TV sebagai Hadiah Pertama, Mesin Basuh Toshiba 10KG sebagai Hadiah Kedua dan Peti Sejuk Midea 280L sebagai Hadiah Ketiga.

Selaras dengan prestasi kewangan yang memberangsangkan, KOPERAK turut mengumumkan agihan dividen sebanyak 10% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 sebagai pulangan kepada anggota atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan terhadap koperasi.

KOPERAK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua anggota, Ahli Lembaga, jawatankuasa, penaja, rakan strategik serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-44. Sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan menjadi pemangkin kepada kejayaan serta kemajuan berterusan KOPERAK dalam mendukung prinsip koperasi dan berkhidmat untuk anggota.

This will close in 0 seconds